Selasa, 17 Januari 2012

Lintasan Pemikiran

As-salaamu'alaikum.

Kali ini, aku menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tulisan yang sebagai manifestasi pemikiran aku yang sedikit celaru pada waktu ini, sehingga mengganggu kerja aku.

Blog
Agak banyak juga aliran traffic yang termasuk ke dalam blog aku. Sama ada sengaja atau tidak, itu aku pun tak tahu. Tipulah kalau aku kata tak seronok melihat kemasukan yang deras ke dalam blog ini. Tapi, malu pun ada juga. Malu kalau-kalau cerita ini tak ada memberi kesan kepada pembaca sebaliknya mendedahkan aib aku sendiri je. Takut pun ada juga. Takut-takut, kesan negatif pula yang menimpa pembaca.

Malunya bila kawan-kawan mereferkan blog ni sebagai blog Islami ataupun ke arah Da'wah. Rasa tak layak langsung untuk itu. Aku tak pandai pun agama. Jahil. Belajar sekolah biasa je. Sebab jahil lah, kena berguru dengan orang yang ahli untuk dapatkan kefahaman yang betul.

Aku seorang penulis diari. Jadi gaya penulisan aku di sini banyak dipengaruhi oleh lenggok bahasa dalam penulisan diari. Cumanya, penggunaan bahasa formal  di sini adalah lebih formal.

Pengunjung Blog
Gerun pula melihatkan ada sebilangan pelawat blog ini dari luar-negara. Lawatan secara konsisten pula tu. Kalau dari kawasan Amerika, memang sedia maklum itu referrer daripada blog kawan sekolah. Haii.. Entah siapalah pengunjung dari Korea Selatan, Brazil, Itali, Taiwan dan yang sewaktu dengannya. Sungguh, aku tertanya-tanya.. Siapakah anda, wahai pembaca yang budiman?  :) Salam perkenalan.

Dua jalan, atau?
Betul ke sama-ada ikut jalan jahiliyyah atau jalan ke-iman-an? Dua jalan je ke yang ada?

Susah sebenarnya nak kekal dalam kebaikan. Untuk menjadi baik, merupakan kesusahan yang lain. Untuk kekal dalam kebaikan pula satu kesukaran yang lain.

Schopenhauer --> Nietzsche --> Iqbal 
Sebenarnya, aku teruja dengan falsafah, walaupun aku tidak mempunyai asas dalam ilmu falsasfah.

Aku mengagumi pemikiran Allama Iqbal, dinamika dalam kehidupan yang didasari cinta yang mendalam kepada Allah dan RasulNya.

Kadang-kala, terfikir juga ingin mengikuti pemikiran Friedrich Nietzsche, dinamika tanpa mengenal batas-batas kemanusiaan, mengabaikan kasih-sayang dan kemanusiaan.

Sedihnya, aku selalu berfikir seperti Schopenhauer, mendepani masalah dunia dengan pandangan yang begitu pesimis.

Teringin.. Ingin sangat menjadi seperti al-Allamah Sir Dr. Muhammad Iqbal. Mendepani masalah ummah dengan dengan kembali kepada sumber tradisi keilmuan Ahlus-Sunnah-Wal-Jama'ah. Hatinya bersih lagi hidup seperti sang sufi, walaupun tak bertoriqat (beliau terinspirasi dengan himpunan2 sya'ir karya Mawlana Jalaluddin ar-Rumi, ulama sufi). Yang penting, dia bersifat dinamik, bertempur dengan kehidupan yang penuh pancaroba.

Pemuda
Baru-baru ini, aku kerap lepak-lepak dengan kawan-kawan aku di pekan tempat tinggalku. Agak rapat juga dengan seorang India dan seorang lagi Cina. Dua-dua dah tak teruna lagi, tapi belum berkahwin. Gerun tak dengar benda2 begini? Zaman sekarang, hubungan di luar alam perkahwinan hampir menjadi "kebiasaan". Itu cerita daripada bangsa lain. Ada juga kenalan aku, berbangsa Melayu, juga mengamalkan hidup begini. Lagilah gerun bercampur sedih aku mendengar kisahnya Nantilah aku cerita secara mendalam.

Aku benci perbuatan lelaki yang main-mainkan perempuan macam barang permainan... BENCI SANGAT.. Benci orang yang merendah-rendahkan martabat orang lain..

Tapi, perempuan pun satu hal juga. Biasalah, perempuan sekarang bukannya sedar pun diorang dah macam barang hiasan je untuk lelaki. Pakaian tak tutup aurat, dedah sana dedah sini. Ataupun, aurat tak ditutup sempurna. Tudung nipis. Tak berstokin. Baju lengan pendek. Tudung tak menutupi dada. Berpakaian ketat. Diorang tak sedar ke atau suka diperhatikan sebegitu rupa?

Sebagai seorang lelaki, jujur aku katakan yang mata lelaki sebenarnya sangat liar. Tak kiralah lelaki tu background yang macam mana sekalipun..

Diparahkan lagi dengan keadaan perkara yang baik disusahkan urusannya, perkara yang buruk disenangkan urusannya.. Memang malapetaka..

Kalaulah tak kerana kekuasaan Allah..

La hawla wa la quwwata illa billah... Tiada daya upaya (menghindari ma'siat) dan kekuatan (mentaati Allah) melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Luka hati
Kalau difikirkan balik peristiwa yang berlaku kepadaku beberapa bulan yang lalu, aku jadi geram. Terlalu dalam hatiku tertoreh. Terlalu pahit rasanya. Hilang sudah kepercayaan mendalam yang aku letakkan. Masakan tidak.. Aku tidak suka mempermainkan, dan semestinya aku berharap yang sedemikian juga daripada kenalan2 aku. Mungkir janji adalah penghancur kepada sebuah kepercayaan. Tapi, aku harus sedar.. Aku tak boleh diperhambakan oleh idealismku yang terlalu tinggi. Aku sendiri pun tak dapat capai idealism itu, tak sepatutnya aku meletakkan standard yang sama bagi kenalan2ku. Walaupun berat dan pahit, aku belajar untuk memaafkan. Seperti kata Einstein, bersikap keraslah terhadap diri sendiri, berlemah-lembutlah dengan orang lain. Banyak2 melihat kebaikan orang-lain, banyak2 mencela kelemahan sendiri. Perlahan-lahan, cara-pandangku (paradigma) diperbetulkan. Dan segala kepahitan itu, hanyalah seperti mimpi ngeri yang telah berlalu. Akhirnya, aku mampu tersenyum kembali .. ^_^   Alhamdulillaah..

Mu'allaf
Semua orang pun mencari-cari erti hidup.. Aku teruja dengan seorang kenalan mu'allaf di IPT ku yang sudah memeluk Islam hampir setahun lebih. Aku tak boleh lupa wajahnya yang cukup tenang, sewaktu sambutan keIslamannya dahulu.. Terpancar sinar kebahagiaan.. Walhal, aku yang memberikan tazkiroh pada hari sambutan keIslamannya berada dalam keadaan jiwa yang kacau dek memikirkan hal-hal peribadi..  Sungguh aku kagum.. Dia menjadi Muslim kerana dia sendiri merasai manisnya mengEsakan Allah, mencintai Rasulullah, mematuhi perintah2Nya, yang semua itu bersesuaian dengan fitrah manusia. Cinta hakiki yang mengakar di hati itu mendorongnya untuk menjadi Muslim.. Aku yang Muslim kebanyakan, tak sedar akan perkara ini.. Nyaris-nyaris tiada kehangatan cinta kepada Allah dan Rasul dalam hati. Memperjuangkan Islam semata-mata melalui semangat yang tidak jelas ditujukan kepada siapa.. Terlalu ambil ringan mengenai banyak perkara mengenai ruhani sendiri... T_T

Dulu, sewaktu sekolah menengah, aku ada seorang sahabat berbangsa Cina.. Dia sangat meminati Islam. Kami kerap bersama. Aku pun cerita je lah apa yang aku mampu. Suatu hari, sewaktu kami berdua sahaja, dia mengucap dua-kalimah-syahadah depan aku dengan loghat Arab yang betul beserta maksud sekali. Kemudian, dia makin giat mempelajari Islam, dengan meminjam buku2 daripadaku untuk mempelajari tulisan jawi/arab. Dia juga menyertai kelas agama di sekolah. Sayang, panas tidak sehingga  ke petang, hujan pula di tengahhari. Keluarganya dapat menghidu kegiatan dia. Habis buku2 yang aku pinjamkan kepadanya dirampas oleh mak-ayahnya. Orangtuanya juga datang ke sekolah, halang dia daripada mengikuti kelas agama. Akupun jahil waktu itu, tak ceritakan peristiwa dia mengucap syahadah kepada ustaz/ustazah.. Tahun-tahun yang berikutnya, aku hampir2 putus hubungan dengannya kerana menyambung pelajaran di sekolah asrama penuh dan seterusnya di IPTA. Agak sedih bila setahun-dua kebelakangan ini, apabila aku menemuinya, sudah pudar kecenderungannya kepada Islam :'(  .. Aku rasa bersalah kerana biarkan dia macam tu je.. InsyaAllah.. Dalam misi untuk mendekatinya kembali.. Wahai pembaca yang budiman, tolonglah doakan hidayah ke atas temanku itu.. Juga doakan kekuatan buat diriku ini.


InsyaAllah.. Setakat ini sahaja dahulu penulisan lintasan pemikiranku.

Wassalam..

1 ulasan:

Izyan Rasul berkata...

bismillahirrahmanirrahim,,moga kamu dipermudahkan segala urusannya.. amin~