Ahad, 8 Januari 2012

Perjalanan II - Kembara Ipoh.

As-salaamu’alaikum.

Amaran.. Penulisan kali ini luarbiasa panjang daripada biasa. Esei ini adalah percubaan aku untuk menulis secara lebih serius. Hampir 7 bulan esei ini disimpan. Sepanjang tempoh tersebut, macam-macam yang berubah, termasuk jugalah fikroh yang aku ikuti. Kini, aku cenderung ke arah mencintai ulama' Ahlussunnah Waljama'ah dan perjuangan mereka. Cuma, perjalanan hidup aku suatu ketika dahulu yang banyak dicorak melalui jalan tarbiyyah sewaktu berusrah dulu masih tak boleh dilupa dan banyak juga yang aku dapat. Penulisan ini didedikasikan buat ikhwati fillah, sahabat2 INTEC, para pencari Tuhan, dan juga untuk sahabat tamu jauh. Yang baik jadikanlah teladan, yang buruk jadikanlah sempadan. Segala yang baik adalah daripada Allah belaka, adapun yang buruk2 itu kunisbahkan kepada diri sendiri, maka maafkanlah kesilapanku. Silakan membaca :) .
_________________________________________________________________________________

Cuti semester aku untuk kali ini lebih singkat.Mujur tiada short-semester untuk kami budak-budak diploma fast-track accounting.Walaubagaimanapun, tempoh cuti kami tidaklah selama member-member program degree yang bercuti hampir 4 bulan! Berlaku sedikit kecelaruan dalam jadual UiTM demi mengikut penyelarasan tarikh kemasukan mahasiswa ke universiti.Walaupun banyak pelajar tak berpuas hati, sebenarnya beban kami tidaklah seteruk para pensyarah.Lebih banyak bebanan tugas yang terletak di atas pundak mereka, sepertinya mengejar dateline untuk pengiraan markah peperiksaan pelajar, serta jadual kuliah yang turut bercelaru bagi pensyarah yang mengajar program diploma dan juga ijazah.

Rancangan ‘Baik Punya’!


Buroq Hijau
Agar cuti tidaklah bosan membeku, aku dengan Akhi Asyraf, sahabat sepersatuan PMH telah merancang secara cincai untuk mengadakan satu ‘pengembaraan’ ke Ipoh. Sasaran peserta pun taklah ramai. Maklumlah, Buroq Hijau aku hanya mampu menampung 5 orang penumpang sahaja, termasuklah pemandu. (Buroq Hijau = Proton Saga klasik aku, nama diberi oleh sahabat senior, Akhi Hafiz) Cantik betul rencana kami. Macam-macam checkpoints yang telah dirancang untuk pergi. Yang bakal mengembara bersama pula adalah adik-adik usrah, adalah dalam 4 orang. Mengenang kembali zaman-zaman dibawa jalan-jalan oleh abang-abang naqib bersama kawan-kawan, sewaktu berusrah dulu-dulu, sungguh manis. Sekarang sudah tiba masanya untuk memberi. Kalau tidak seimbang antara memberi dan menerima, maka jadilah diri ini umpanya air bertakung yang rosak lagi penuh dengan jejentik.

Kusangka panas hingga ke petang..

Seperti yang selalu dikatakan oleh orang tua-tua, kita merancang, Allah jua yang menentukan. Apabila hampirnya tarikh untuk kembara ke Ipoh (6 Mei, Jumaat), macam-macam hal yang tak dijangka berlaku. Asyraf yang menarik diri pada saat-saat terakhir, dek masalah jarak yang memisahkan kami. Zul, adik usrah, pula dipanggil pulang oleh ibunya ke Kota Bharu, Kelantan. Fitri dan Ija pula awal-awal lagi tidak berminat. Mula-mula rasa kecewa juga. Maklumlah, kenapalah saat-saat akhir baru terjadi.. Mujur sudah kupesan awal-awal kepada sepupu aku,Along untuk reserve 6 hingga 7 Mei untuk menemaniku ‘mengembara’. Lagipun, aku sudah memaklumi Hadi, adik usrahku yang berada di Ipoh, untuk ke sana. Tidak manis pula kalau terus kubatalkan program ini.

Di Shah Alam

Dipendekkan cerita, aku dan sepupuku,Along Paiz meninggalkan pekan Dengkil yang semakin maju menuju ke Puncak Perdana yang masih hijau rimba. Masih ada perkara yang belum selesai di sana. Adik-adik usrah yang tak dapat pergi, mesti dipastikan kesinambungan program yang bakal mereka ikuti di kampung halaman. Akhi Azril sudah siap menunggu di Kolej Jasmine. Dia pun sudah sedia maklum bahawa aku ingin melepaskan adik-adik ini kepadanya.Tak lama tunggu, bersama dengan adik-adik (Ija, Fitri dan Zul) sempatlah kami mengadakan usrah terakhir dalam semester 2 mereka.

Mereka sungguh istimewa. Inilah kali pertama aku membawa usrah yang benar-benar bermula dari bawah, yakni dari berkenalan dengan berhalaqah Quran hinggalah bersama-sama ke kuliyah-kuliyah pengajian di luar. Sungguh istimewa.. Sejuk hati melihat adik-adik bersungguh-sungguh dalam mengamalkan agama, rajin ke surau, ceramah dan berbuat kebaikan. Tak sanggup aku untuk membiarkan cuti 4 bulan mereka kosong tanpa pengisian rohani. Risau kalau dibiarkan cuti lama-lama. “Al-imaanu yazid wa yanqus”, imaan itu naik dan turun. Akhir zaman, iman bukannya turun naik, bahkan ada yang kata ia keluar masuk. Sayang, risau, bangga, semua perasaan membaur apabila melihat mereka. Agaknya, perkara itulah yang dirasakan oleh Abang Hakim, insan yang bertanggungjawab mengenalkan aku dengan usrah yang sebenar. Tidak! Usrah bukannya bulatan manusia yang hanya membincangkan ‘ilmu asas-asas Islam semata-mata! Usrah lebih daripada itu.. Usrah ialah ukhuwwah yang dibina atas dasar cinta dan kasih akan Allah dan rasulNya. Usrah ialah suka-duka yang dilalui bersama sahabat dalam usaha mengislahkan (memperbaiki) diri menjadi hamba Allah yang baik. Usrah ialah segala macam pengalaman yang ditempuh bersama, yang apabila diingatkan kembali, akan mengusik jiwa, menjadi motivasi untuk terus kekal menjadi orang yang baik, walau bagaimana teruk pun ujian dan dugaan yang dihadapi di sepanjang jalan penyucian jiwa. Itulah usrah yang aku kenali.

Shopping –time!

Sebetul-betulnya, aku dan sepupuku bertolak ke Ipoh lebih kurang pada pukul 10 malam. Seusai menunaikan maghrib di Surau al-Iqra’, kami menghabiskan sebahagian masa di pasaraya Giant. Kaget juga aku melihat Along ligat mengambil pelbagai bahan makanan, beberapa botol air mineral, minuman manis, kekacang dan juga coklat. Mentang-mentang nak berjalan jauh. Habis sahaja bershopping, kami pun meninggalkan Shah Alam meredah kegelapan malam dengan Buroq Hijau.

Tidak ada peristiwa aneh sepanjang perjalanan kami menuju ke Perak pada malam tersebut. Aku memandu, Along meneman. Malam itu diisi perbualan antara dua orang pemuda, perbicaraan yang begitu melangit. Rancak kami berdiskusi seputar ruang lingkup perbincangan mengenai aliran falsafah, toriqat tasowwuf, harokah Islamiyyah, hala tuju masa depan. Sangat meraban sehinggakan aku pun tidak ingat tajuk khusus yang kami bualkan. Benarlah bagai dikata oleh abang-abang naqib memetik sabda Rasulullah S.A.W., sesi ta’aruf yang terbaik adalah ketika sama-sama berkelana.

Bermalam

Along sudah mengambil-alih tempat pemanduan. Aku pula menghenyak kerusi penumpang. Perjalanan diteruskan sehinggalah pukul 2 pagi. Setelah pening-pening lalat dek mengantuk tak terlawan oleh kami berdua, Along pun melencongkan Buroq Hijau ke sebuah Perhentian di Simpang Pulai.

Aku pun bertanya, “Long, kita nak tidur kat mana?”

“Kita tidur kat surau lah.Selesa sikit,” jawab sepupuku dengan yakin.

Namun, apakan daya, surau yang dicari rupanya tiada di situ. Terdengar sedikit keluhan daripada Along.

“Tak apalah Long. Kita bantai tidur dalam kereta jelah.Kata, ‘mengembara’,” ujarku selamba.

Dek badan disengat kepenatan, dengan mudahnya kami tertidur walaupun bertilamkan kerusi berlekuk, beralaskan bantal yang dibawa khas dari rumah oleh Along. Nyenyaklah kami dalam Buroq Hijau, dikelilingi mereka yang seperti kami dan juga abang-abang lori yang turut lena diulit mimpi dalam kenderaan masing-masing. Benarlah, tidur yang paling nyenyak adalah sewaktu penat.

Terjaga.

“Pap, pap!!” aku dikejutkan dengan bunyi tamparan. Along melepuk-lepuk badannya. Dah agak.. Dia berperang dengan nyamuk yang lapar akan darah manis orang muda.

Kehangatan mula terasa. Habis lenjan aku bermandi peluh. Mata aku menjadi segar, walhal waktu itu baru 4.30 pagi. Bunyi tamparan Along berpencak dengan nyamuk ditambah lagi kehangatan dalam kerata menyebabkan aku hilang selera untuk tidur.

“Baru 4.30 Man,” Along merenung aku. Dia pun sudah hilang mengantuk.

Aku pun membalas, “Panas sangatlah Long.” Mestilah panas. Nak hidupkan pendingin hawa, risau pula mati lemas dalam kereta. Banyak kes dah terjadi. Hanya angin malam yang menerjah masuk melalui ruang sempit tingkap yang dibuka. Itupun, bukannya angin dingin yang masuk, tapi nyamuk!

“Jomlah Man, kita gerak ke Masjid Negeri (Perak),” Along menyarankan. “Nak tidur pun dah tak boleh.”
“Jom!” aku segera setuju.Apa boleh buat. Lebih baiklah menikmati dingin malam daripada menderita tidur dalam keringat.

Buroq Hijau meredah gelap pagi lagi, laksana kuda perkasa merentas hutan. Teman aku ini sudah lebih 10 tahun usianya. Warna hijau metallicnya sudah memudar, enjin juga terasa bagai diteran apabila dipaksa memecut. Ia merupakan pemberian abah kepadaku, dengan harapan untuk memudahkan perjalananku ke Taylor’s University College. Apakan daya, tempoh aku menuntut di sana tidak lama. 2 bulan di TUC cukup menyeksakan. Rasanya bagai mencekik-cekik diri sendiri untuk menuntut disiplin ilmu kejuruteraan yang semakin hambar rasanya di hati. Harapan untuk terbang ke tanah Kanggaru (Australia) juga semakin menjauh dek requirement keputusan akademik yang ditetapkan oleh penaja mencecah tahap dewa, average 85 dan ke atas. Perit, memang perit. Tetapi, keperitan hidup sendiri sebenarnya merupakan sarana untuk mendidik diri. Dengan kehancuranlah kita dapat melaksanakan kebangkitan kali kedua yang lebih cerlang, laksana burung lagenda, Phoenix yang bangkit setelah ia hancur menjadi debu. Lantaran tersungkurlah baru diketahui pokok pangkalnya kelemahan dan kelebihan dalam diri. Sebagaimana yang didendangkan oleh pejuang haluan kiri tanah air, Dr. Burhanuddin al-Helmi “Di atas robohan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka.” Buroq Hijau masih Buroq yang sama menemaniku sedari di TUC dahulu, namun aku ialah aku yang sentiasa merevolusi, insyaAllah moga di atas jalan yang diredhaiNya.

Masjid Ipoh.

Bagaikan rusa masuk ke kampung, kelam-kabut berada di tempat yang asing. Begitulah juga kami. Apabila orang pekan masuk ke bandar, bandar pula jauh dari kampung halaman, melilaulah kami mencari jalan menuju ke Masjid Ipoh. Bergerak di waktu dinihari juga menyukarkan lagi pencarian destinasi.

“Kita singgah 7-E kejap, Long,” aku menyarakan. Semua alatan kebersihan diri telah kubawa, tetapi entah macam mana berus gigi dan ‘ubat gigi’ tertinggal pula. “Sambil-sambil beli nanti, bolehlah tanya cashier jalan ke Masjid.”

“Bolehlah..” ringkas Along menjawab.

Tatkala masuknya kami ke dalam kedai, terlihatlah kelibat dua orang pemuda berbaju merah uniform 7-E rancang bersembang. Lokasi sembang pun baik punya, blindspot yang tak mampu dilihat oleh CCTV. Aku cukup masak dengan skil curi tulang staf 7-E. Maklumlah, dulu pun pernah bekerja di situ. Banyak pahit manis sewaktu aku bekerja di stor 7-E di pekanku. Kalau nak diceritakan di sini, akan menjadi berjela pula. Nantilah, di lain waktu.

Sepupuku yang memang rajin bersembang menebalkan muka sambil bertanya, “Er..Jalan nak ke Masjid Negeri camner ya? Kami buta jalan. Maklumlah orang Selangor.”

“Oo.. Camni.. Abang pergi ke simpang tu nanti .. Lepas tu, blah… bla..bla..” bersemangat brader cashier memberi arah destinasi.

Masjid Negeri Perak.

Dipendekkan cerita, akhirnya sampailah kami ke Masjid Negeri. Taklah sesukar yang dijangkakan. Tak banyak yang kami lakukan. Alatan mandian dan juga beg buku dibawa masuk ke pekarangan tingkat satu masjid, yakni dewan solat yang lama. Dalam samar-samar gelap, terlihatlah beberapa kujur tubuh bergelimpangan. Arghh..Penat. Aku nampak Along menunaikan solat malam. Habis bersolat, dia merebahkan diri ke karpet masjid berbantalkan beg bajunya. Aku pun menuruti jejak langkahnya tetapi dengan berbantalkan tuala.

Anwar Ibrahim

Usai menunaikan solat Subuh di dewan solat utama di aras 2, kami menyambung tidur semula. Itupun tak lama. Hampir-hampir pukul 7 pagi, tok siak dengan keras menepuk-nepuk bahu kami. “Bangun-bangun~! Nanti Muslimat nak pakai dewan solat bawah!” jerkah toksiak dengan begitu lantang.

Rencana aku pada pagi itu memang masih celaru. Dek ketiadaan Asyraf dalam misi pengembaraan kami, aku terpaksa menyusun balik checkpoint yang bakal kami tempuhi. Setelah membersihkan diri, aku dan Along mengambil keputusan untuk bersiar-siar di pekarangan Masjid Negeri Perak terlebih dahulu. Rencananya, 9 pagi nanti barulah kami akan meninggalkan kawasan masjid tersebut.

Kelihatan Along melangkah dengan semangat menuju ke pondok pengawal. Sejurus memberi salam, sekejap sahaja perbualan Along dengan pakcik “jaga” menjadi begitu rancak. Hebat sungguh sepupu aku dalam memenangi hati manusia. Ada tokoh jadi ahli politik. Pakcik jaga yang berkaca mata juga rancak bersembang sambil menikmati milo panas yang baru dibancuhnya.

Tak lama kemudian, datang pula toksiak yang tadinya mengejutkan kami daripada tidur. Dia juga berbaju pengawal. Ah sudah.. Tok siak ke pengawal? Aku pun tak tahu.

“Dulu saya bekas tenaga pengajar di MCKK,” ungkap tok siak merangkap pak jaga dengan begitu semangat. “Saya memang masak benar dengan perangai Anwar Ibrahim tu~! Waktu sekolah tu, dia…. bla la bla bla bla..” katanya dengan penuh emosional, namun aku tak sanggup menuliskan kata-kata yang belum terbukti kebenarannya.

Pakcik jaga berkaca-mata pun menyampuk, “Itulah pakcik pun nak cakap, orang muda jangan sesekali lupa akan jasa kerajaan. Kalau tak ada UMNO berjuang dulu, takkan berjayalah Melayu yang sekarang ini.” Pakcik berkaca-mata lebih tenang tutur-katanya, bagaikan pesan seorang bapa kepada anaknya.

Entah soalan apa yang Along tanya, sehingga mencetuskan perbualan hangat politik. Perak, negeri yang pernah kontroversi dek ketegangan politik, buat satu tempoh yang masih tidaklah terlalu lama. Aku tidak berminat dengan politik kerana bagiku ia terlalu banyak sandiwara. Suratkhabar pun merancakkan lagi sandiwara politik. Aku lebih selesa menjadi non-partisan. Allah beri kita akal, lebih baiklah kita gunakan untuk berfikir. Pada pandanganku, para warga veteran, janganlah terlalu termakan budi oleh jasa lampau generasi terdahulu dalam kerajaan sehinggakan kesalahan kepemimpinan generasi baru dalam kerajaan pun langsung tak dihiraukan. Orang muda seperti aku pula, janganlah dek gelojak darah muda yang membara itu, segala-galanya daripada kerajaan dipandang salah belaka, dan apa yang dibawa pembangkang dianggap betul sahaja. Lepaskanlah diri daripada mengikut membuta-tuli tanpa pertimbangan akal yang waras.

Pekarangan masjid.
Monologku terhenti seketika apabila pakcik berkacamata berkata, “Satu lagi pakcik nak pesan.. Tak kiralah sokong parti politik mana sekalipun, anak-anak muda janganlah ikut dalam tunjuk perasaan. Itu bukan budaya kita. Kesian kat peniaga-peniaga kecil, habis punca rezeki diorang. Yang muda pun terkena juga. Orang yang merusuh je yang kena tangkap masuk jel. Orang yang di atas, rileks goyang kaki, tak kena apa-apa pun.” Along dan aku mengangguk-angukkan kepala laju-laju, tanda setuju dengan nasihat pakcik.


Nasihat itu merupakan penamat kepada perbualan kami. Kami meninggalkan Masjid Negeri untuk bersarapan, sebelum menuju ke destinasi yang seterusnya.



Rumah Hadi.

Perjalanan ke rumah Hadi tidaklah begitu sukar. Walaupun beberapa kali terlajak, akhirnya kami bertemu juga rumahnya yang terletak di taman perumahan. Seluruh ahli keluarganya tiada di rumah kerana ke majlis kenduri kahwin saudaranya. Tinggallah Hadi seorang menunggu kehadiran aku dan Along, sepupuku. Tak banyak yang kami lakukan di rumahnya. Sekadar minum-minum, sembang-sembang ringan dan beri buah tangan, berupa novel Versus.

Versus, novel nukilan Hlovate itu sangat istimewa bagiku. Kalau tak kerana terbaca blog seorang teman, mungkin aku tak akan pernah familiar dengan karya Hlovate. Perjalanan cerita Versus agak menarik, watak-wataknya tidak terlalu idealistik, jalan ceritanya hidup, gaya bahasanya santai dengan menggunakan bahasa perbualan semasa orang Melayu kita, merupakan motivasi yang baik bagi mereka yang ingin berubah ke arah kebaikan. Cubalah baca :) .
Versus.. Bermujahadah melawan diri sendiri.

Selepas beberapa minit di rumah Hadi, kami pun bingkas meninggalkan kediamannya untuk menuju ke destinasi seterusnya.

Kenduri sepupu Hadi.

Buroq Hijau dipandu perlahan. Kami menelusuri jalan kampung yang sedikit kecil jika dibandingkan dengan saiz piawai jalan yang sebenar. Kenduri sepupu Hadi diadakan di kawasan kampung.

Pakcik Tehtarik~

Menakjubkan! Kenduri kahwin di kampung ini masih dilaksanakan secara bergotong-royong. Pada zaman siber ini, budaya bergotong-royong semakin meluput. Semakin ramai manusia membawa haluan sendiri dalam kehidupan. “Jangan sibuk nak jaga tepi kain orang,” menjadi slogan. Memang benar, setiap orang memerlukan masa peribadinya sendiri. Aku sendiri memerlukan banyak masa bersendirian untuk menenangkan pemikiran jika sehari suntuk berkomunikasi tanpa henti. Tetapi, semangat kerjasama dan saling mengambil-berat tidak boleh ditinggalkan. Inilah amalan nenek-moyang kita. Inilah anjuran dalam Islam, yakni saling berukhuwwah, bantu-membantu (takaful) kerana hak ketunggalan itu hanyalah milik Allah SWT. Manusia menjadi tunggal apabila mereka bersatu dengan mengambil-berat hal-ehwal antara satu-sama lain, seperti sabda Nabi S.A.W., bahawa umat Islam itu sepertinya setubuh badan, yang mana kalau dicubit paha kiri, paha kanan turut merasa sakitnya dan begitulah juga sebaliknya.

“Man, tengok tu.. Jom ambil gambar dengan Menteri Kewangan ke-2 tu,” gesa Along memecahkan lamunan panjangku.

Jom~!” aku menjawab dengan teruja.

Kami menuju ke arah Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dengan bersemangat bercampur segan.

Datuk Ahmad Husni Hanadzlah yang merendah diri, bersama Along.

“Datuk, boleh kami ambil gambar bersama datuk?” aku bertanya tersipu-sipu.

“Eh, boleh..Apa salahnya,” jawab Datuk tersenyum sambil merangkul bahuku. “Kerja kat mana?”

Uhuk..Belum lagi Datuk, sekarang masih belajar lagi, kat UiTM Puncak Perdana, Shah Alam,” jawab aku selepas terkedu.

“Oo..Hari tu saya ada datang UiTM. Ada ceramah dekat dewan besar tu,” sambung Datuk.

Buat-buat takjub, aku menjawab, “Oo ye ke..” Sebenarnya, aku pun tak ambil pusing kehadiran beliau. Maklumlah, lokasi UiTM Puncak Perdana ke UiTM Kampus Shah Alam pun, jauh, dalam setengah jam perjalanan. Memang biasalah kalau ada sahaja maklumat yang tak sampai kepada siswa khususnya yang malas nak ikut event.

Selepas bergambar, aku bersiar-siar di sekeliling kawasan majlis perkahwinan. Adalah sedikit gambar yang diambil.

“Bang~! Ni laa anak buah saya,” Hadi menegurku sambil mendukungi anak buahnya yang comel.
Puas mencubit pipi anak buahnya, gambar pun diambil sebagai kenangan.

Hadi bersama anak buahnya.

UTP.

Tujuan.

Kami meninggalkan kawasan kenduri menuju ke Universiti Teknologi Petronas di Tronoh. Aku menjadi pemandu utama, seperti biasa.

Selepas menamatkan pengajian di INTEC dulu, mereka yang kurang bernasib-baik termasuklah aku, turut merancang untuk menyambung pengajian di UTP. Rupa-rupanya tidaklah semudah yang disangka untuk bergelar mahasiswa UTP, khususnya bagi kami yang memegang sijil foundation AUSMAT. Requirement yang masih tinggi menyebabkan kebanyakan daripada kami menyambung pengajian ke TUC. Pemergian aku meninggalkan TUC tidaklah juga bermakna sia-sia. Aku menghubungi kembali rakan-rakan INTEC yang menyambung studi di TUC, dan nyatalah tiada seorang pun dilepaskan untuk menyambung pengajian ke oversea dek requirement penaja ditingkatkan melebihi paras normal. Akhirnya, mereka kini di UTP.

Bolehlah dikatakan misi ke UTP ini sebagai serampang dua mata. Fokus utamanya adalah untuk memfollow-up Hadi. Misi sampingan pula amatlah banyak, sepertinya ingin menjadi dinamik dan tidak membiarkan masa muda menjadi statik dengan perkara sia-sia. Jumpa sahabat-sahabat sewaktu di INTEC juga menjadi motivasi dan rangsangan buat diri untuk tidak kecewa dengan kekalahan yang lalu. Ya.. Menjadi seperti Phoenix, kebangkitan kali ke-2 yang lebih hebat setelah hancur menjadi debu.

Ketidak-best-an

Beberapa kali aku menelefon Syafiq, tetapi tidak berjawab. Sedikit kecewa. Akhirnya percubaan yang kesekian kalinya, berjawab juga panggilanku.

Sambil tersenyum girang, aku bertanya, “As-salaamu’alaikum. Syafiq, aku dah sampai. Rumah ko kat blok X kan?”

“Wa’alaikumussalam.. A’ah Man, betullah tu..” jawab kawanku dengan nada lemah.

Klu aku datang sekarang, sedia tak..?” aku sudah mundar-mandir di hadapan bilik-bilik di blok X, mencari rumah kawanku.

“Eh.. Eh.. Man, nanti dlu kot.. Bebudak ni tidor lagi.. Kita jumpa lepas Asar ya..?” dengan segera Syafiq meningkah permintaanku.

“Erk.. Em.. Ok, tak apalah klu camtu,” jawabku sedikit kecewa. Masakan tidak, dari kejauhan datang tetapi seolah-olah tidak bersambut. Tak apalah. Biarlah aku disambut sewaktu mereka dalam keadaan optimum.

“Along, Hadi, kita tunggu jap yea.. Pusing-pusing UTP dlu lah. Member tak sedia lagi, katanya lepas Asar baru sedia nak jumpa,” aku bersuara kepada Hadi dan Along yang sedang mundar-mandir di balkoni blok X.

Ok.. Cantiklah tu, kita round UTP,” jawab Along sambil membeli air tin daripada vending machine. Terkial-kial dia mengeluarkan syiling 50sen, untuk mencukupkan bayaran RM1.50.

Mahai betui ayor abang Faiz beli.. Klu kat UiTM, RM1 dah dapat..” Hadi menegur Along. Macam tak sesuai pula nak dibandingkan harga-harga barang di UTP dan UiTM. UTP, swasta, UiTM, kerajaan, banyak subsidi.   :-P

Tak lama pun kami di situ. Usai Along menyelesaikan keinginannya, kami mengenderai Buroq Hijau menerokai kawasan UTP yang agak luas.

Ke-best-an.

Hendak menunggu waktu Asar tiba, masih banyak masa lagi yang perlu dinantikan. Kami pun roundlah sekitar UTP. Aku memecut Buroq Hijau dengan kelajuan sederhana untuk menikmati sebaik-baiknya pemandangan di UTP. Teruja nak tengok bangunan-bangunan fakulti, sehingga terlalu kawasan berlantaikan batu-bata. Bergegar habis kereta aku.

Secara umumnya, masih banyak lagi tanah di UTP yang menanti untuk dibangunkan. Kawasan UTP masih hijau. Udara agak segar, selesa bernafas di sini. Tak seperti udara Shah Alam yang sarat dengan debu dan asap. Udara UTP dan UiTM Puncak Perdana adalah hampir setara, agak menyamankan dada. Kalau nak berkarya di sini, mesti best, banyak ilham hadir.

Warna bangunan fakulti, bagiku agak homogenous.. Sefesyen. Nak buat macam mana. Mungkin warna bagi kelompok jurutera, itulah yang terbaik. Kelabu gelap. Bagi aku yang terbiasa dengan warna-warni UiTM, pemandangan bangunan-bangunan fakulti di UTP dari jarak jauh adalah sedikit hambar (kawan-kawan UTP, jangan marah ya.. hanya pandangan peribadi :)    ).

Kempunan nak masuk perpustakaan.

Dewan Canselor besar bagak!

Akhirnya, sampailah kami di Dewan Canselor. Bapak besar ~! Aku cuba menggunakan digital kamera standard dengan optical zooming, nyata tak mampu untuk menangkap keseluruhan bangunan Canselor UTP. Besarnya.. Sangat mengujakan. Bangunan inilah yang memenangi anugerah istimewa Aga Khan untuk Senibina. Sekarang aku berada di hadapannya. Sewaktu aku tiba di sana, kelihatan ramai siswa-siswi sedang menjawab peperiksaan. Minggu peperiksaan. Oh yaa.. Perpustakaan UTP sangat cantik dan unik. Kecur air liur ku untuk masuk ke dalam dan membelek buku-buku di situ. Alangkah sayangnya, rombongan kami tidak dapat memasuki pustaka itu memandangkan kami semua tidak berkasut, melainkan berselipar dan bersandal belaka. Hanya gambarlah yang dapat mengubati rasa kecewa ini.

Dewan peperiksaan di UTP



Masjid UTP yang moderen.
Satu perkara lagi yang mengagumkan adalah Masjid UTP. Rasanya, kali ke-2 aku menjejakkan kaki ke masjid yang mempunyai pintu sliding automatik (pertama di KLCC). Amboi, canggihnya.. Masuk di dalam, sejuk pula. Di kawasan beranda masjid, begitu indah pemandangan. Dek kedudukan masjid yang berjiran dengan tasik, angin sepoi-sepoi bahasa mengisi ruang-ruang di beranda. Enak sekali untuk tidur sementara~. Dan yang lebih menyenangkan, kelihatan program kerohanian berlangsung di kawasan beranda. Nampaknya ramai Muslimin yang hadir. Di tengah-tengah bulatan, kelihatan seorang lelaki (mungkin senior, mungkin ustaz) menyampaikan tazkirah kepada muslimin yang lain. Semua pandangan terarah kepada si penyampai. Bagusnya kalau budaya ini dapat diterapkan di setiap kampus UiTM tanpa kecuali.



Cenderahati

“As-salaamu’alaikum.. Azrul ke ni..?” melalui henfon Nokia klasikku, aku bertanya.

“Wa-alaikumussalam..Ye Man? Apa khabar?” jawab Azrul. Dia merupakan salah seorang member AUSMAT ku. Sempatlah berjumpa pada penghujung tahun 2009, sewaktu keluargaku mengembara ke pantai Timur.

“Baik, sihat. Ko kat mana ya? Aku sekarang kat UTP ni.” malas nak bertangguh, aku berterus-terang.

“Oh. Ye ke. Tunggu kejap ek. Aku baru habis exam, tapi tak boleh keluar lagi.” Azrul berkata jujur.

Tak boleh buat apa-apa.. Azrul je yang dapat dihubungi semasa kejadian. Telefon Syafiq, engage pula.  Untuk mencepatkan masa, kami pun bersiar-siar di bangunan kedai yang aku tak ingat namanya. Sambil-sambil tu, aku membeli barang cenderahati buat kenangan sendiri. Sedang mengelilingi kedai, ternampak pula buku nota kecil yang mengandungi logo UTP. Designnya, biasa saja, tetapi agak menonjol padaku. Mungkin sebab aku suka menulis. Akhirnya, aku terbeli juga buku nota itu, buat kenang-kenangan, dan juga sebagai ruang untuk aku menumpahkan segala monolog dalaman jiwaku.

Selain itu, sempat juga membeli buku Sinergi, buku bercorak da’wah. Artikel-artikel dalam buku tersebut boleh tahan berisi juga. Aku pun melihat nama-nama penulisnya. Kelihatan sebuah nama yang kukenali (tuan punya nama tak kenallah aku.. :P), Umair Zulkefli.. Akhi Umair Zulkefli yang biasa menulis cerpen-cerpen berunsurkan da’wah (rujuk http://umairzulkefli.blogspot.com). Karya beliau yang paling popular, barangkali mengenai budaya couple. Tak silap aku, tajuknya, “Berapa kali nak kata, couple tu haram!”, (boleh rujuk di http://umairzulkefli.blogspot.com/2008/06/untukmu.html) Antara penulisan yang sangat menyentuh hati, tentang seorang lelaki yang member komitmen penuh dalam da’wah, mengorbankan cinta antara dia dan kekasihnya demi sinar hidayah. Bukan mudah pengorbanan itu. Tambah lagi, bagi kita umat di akhir zaman ini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semakin menjadi perkara biasa. Mereka yang menjaga batas hubungan antara lelaki dan perempuan dipandang jelik. Namun, ia tidak mustahil dilakukan bagi mereka yang benar-benar ikhlas. Di atas jalan tarbiyyah, segala-galanya mungkin terjadi. Pokok-pangkalnya bergantung kepada niat.

Buku Sinergi juga memberi peluang kepada diriku untuk mengenali ikhwah-akhowat anak didik Dr. Hizul Azri yang agak terkenal juga dengan Jama’ah tanpa namanya itu.Betapa para anak didiknya sangat qowiy (bersungguh-sungguh/kuat) dan merupakan individu-individu yang terpilih dalam menjalankan ‘amal Islami. Astaghfirullah..Agak melalut juga. Bagi mereka yang mengikuti usrah, gosip jama’ah adalah perkara biasa. Dan aku adalah antara orang yang suka mendengar dan bercerita tentang gosip-gosip ini :( . Amalan yang sepatutnya dikurangkan.

Minum

“Man, jom minum kat restoran sebelah?” Along mencuitku usai kami keluar dari kedai runcit.

“Elok bebeno ler tu.. Saya pun dahaga ni.” Hadi dengan loghat Peghoknya yang tak terkawal bersetuju. Mentang-mentang kampung halaman dia, seronok betul speaking Peghoknyer.

Bolehlah. Aku pun dah letih berjalan pusing-pusing UTP. Nak jumpa member punya pasal. Kami pun minum-minumlah di café bersebelahan kedai runcit. Petang hari, nampak sepertinya tidak ramai yang menikmati hidangan di sini. Sempatlah aku mengirimkan SMS kepada Azrul tentang lokasi kami. Kalau tidak, meraban pula dia mencari nanti.

Tidak semena-mena, kelihatan siswa-siswi berduyun-duyun melalui kaki lima café. Baru dilepaskan keluar daripada exam hall kot. Kelihatan seorang lelaki berambut lebat lagi lurus menghampiriku. Tidak dilupakan, janggut sejemput yang menambahkan lagi kekemasan perawakannya. Badannya agak kurus, pakaiannya sempoi, berseluar jeans, berbaju kemeja-T. Walaupun sempoi, tapi smart. Mungkin kerana kombinasi baju dan seluarnya yang kena. Tiba-tiba dia senyum dan menghulurkan tangan kepadaku untuk bersalam.

“As-salaamu’alaikum. Pekabo Man?” lelaki itu menghulurkan salam. Aku menyambutnya. Tiba-tiba pula dia memelukku, gaya ikhwah dalam usrah.  TEET~! Baru teringat..

“Wa’alaikumussalam.. Laa.. Ko ke Azrul? Aku ingatkan, Antonio Banderas tadi,” semakin kacak kawan lamaku. Nyaris aku tidak dapat mengenal-pasti perawakannya.

Tanpa lengah, kami pun memesan air untuk diminum. Tak seronok bersembang tanpa air. Kering tekak.

Kalau dah namanya pun berjumpa kawan lama, mestilah perkara yang dibualkan adalah cerita-cerita lama. Barulah aku tahu, semua kawan-kawanku yang tak lepas fly daripada INTEC yang kemudiannya menyambung di Taylor’s Universiti College, juga masih tidak dapat ke mana-mana. Masing-masing terpaksa menyambung pelajaran di IPTA dan IPTS di Malaysia, dan perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan tempat pengajian. Siapa sangka, peluang kedua yang diberikan oleh penaja rupanya peluang yang bersyarat. Syarat kelayakan untuk fly bagi kami yang mendapat peluang kedua telah ditingkatkan, berganda daripada syarat yang asal. Kami dikehendaki mendapatkan keputusan average markah tahun pertama, minimum 85. Hakikatnya, markah tersebut agaklah mustahil untuk dicapai, yakni markah 1st Class Honour.

Ko tau Man.. Budak Cina yang paling tinggi score pun, 82.5. Budak Melayu kita, aper la sangat. Lagi la jauh nak capai target tu..” Azrul bercerita dengan gaya seorang pendiam yang cool.

“Dah tu, memang betul-betul la ni tak de yang fly? Mujur aku keluar TUC awal-awal.” aku bersyukur dengan pilihan yang pernah kubuat suatu ketika dahulu.

“Ada..Dua orang.” sambil mengelus rambut di dahi, Azrul menjawab.

“Eh..? Kata takde yang lepas fly?” aku tertanya-tanya.

Azrul balas, “Em..Dengarlah dulu. Kenal Ijat kan? Ijat Lesly, Curtin University. Tapi kat Sarawak la.. Hahak..  Em. Lagi sorang, Raja. Dia fly pegi OZ (Australia).”

“Oh..Ijat. Mestilah ingat. OK lah tu, fly jugak apa. Fly ke Malaysia Timur pun OK la.” aku masih kagum dengan Izzat. Khabar mengatakan, dalam kalangan yang diberikan peluang kedua oleh penaja kami, markah 1st year dialah yang tertinggi. Sekitar 75. “Err.. Raja betul-betul fly pegi OZ ek? Penaja kita ke sponsor?”

“Eh..Tak. Parents dia sponsor. Raja kan anak orang kaya,” Azrul menjelaskan.

Aku dah larut bersembang dengan Azrul. Along dan Hadi terus ku abai. Takpelah. Biar mereka bersembang sesama-sendiri.

Sedang kami termenung, seorang pelayan lelaki meletakkan pinggan yang dipenuhi kek pisang. Sambil tersenyum ke arah kami, dia berkata “Makanlah dik. Abang belanja..” Aih..Seronok lah kami menerima pemberian orang. Terima kasih bang!

Penantian

Sambil berbual, sambil itulah aku merenung suasana di UTP. Aku mencari-cari juga, jikalau ada insan yang kukenal lalu-lalang di hadapan café. Aku menunggu kehadiran seseorang yang sudah lama tak berjumpa. Tak kelihatan. Tak hadir. Mungkin, takkan hadir.. Hurmm.

Sebenarnya, aku menantikan kehadiran seorang sahabat, yang sudah lama tidak bertemu. Waktu perkenalan aku dengannya hampir sama dengan perkenalanku dengan naqib pertamaku di dalam usrah, yakni penghujung tahun 2006, selepas aku menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Medium perkenalan juga sama, yakni di alam maya. Tarikh lahir mereka pula, hanya berbeza sehari. SubhanAllah.. Kebetulan yang aneh lagi mengujakan.

Program Belia Harapan 2007 anjuran AUSIS (dengan abang2 ISMA). Aku senyum nampak gigi, Abang Hakim berbaju Melayu hijau turquoise.

Bagi aku, selain daripada ahli keluargaku, dua insan ini agak penting dalam hidupku. Seorang merupakan naqib yang membimbingku mengenali “usrah sebenar”, yang bermula dari bawah, daripada perkenalan, pembinaan hubungan, suka-duka yang dikongsi bersama, bagai seorang adik yang dibimbing oleh seorang abang (naqib). Aku sangat terkesan dengan abang naqib itu, yang tidak menghukum adik-adik yang diserunya. Sebaliknya, dia mengambil pendekatan berlemah-lembut, berhikmah dan sentiasa mendampingi kami (adik-adik usrah). Siapa sangka, persinggahan aku di profil Friendster (popular sebelum zaman Facebook) miliknya merupakan satu bibit yang membawa aku mengenali dunia baru. Dunia yang dipenuhi dengan manusia-manusia yang gigih ingin berubah ke arah kebaikan dan tak jemu saling membantu untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Itulah, dunia usrah.. Dunia dakwah dan tarbiyyah. Aku merindui zaman permulaan dahulu. Manis. Penuh dengan memori. Pahit pun ada, tapi dikongsi bersama. Alhamdulillah.. Segala puji bagiMu ya Allah, kerana memberi peluang kepadaku untuk bertemu dengan abang Hakim, serta ikhwati fillah yang lain. Siapalah aku yang sekarang ini, tanpa tempias keikhlasan jiwa mereka.

Seorang lagi merupakan sahabat maya aku. Hakikatnya, pertemuan kali pertama kami bermula di alam realiti. Program Kem Persediaan SPM 2007 menemukan kami. Selain naqib yang kukenali di alam maya, sahabat ku ini juga turut memberi tunjuk ajar dan selok-belok dalam usrah. Siapa sangka, dia yang masih bersekolah itu merupakan seorang aktivis da’wah. Bahkan juga banyak menghafal ayat-ayat al-Quran yang panjang-panjang. MasyaAllah.. Teruja mendapat kawan yang sebegini. Masa berlalu. Dia berjaya melanjutkan pelajaran di sini, UTP dengan ditaja berbekalkan keputusan trial-SPMnya.  Dahsyat.. Dia juga cemerlang dengan keputusan SPMnya. Alhamdulillah, aku tumpang gembira untuknya. Mungkin di sana, ada tarbiyyah Allah yang terbaik untuknya. Mulai dengan kelonggaran follow-up usrahnya, sehinggalah berlaku keterciciran, dan pelbagai lagi dugaan yang dihadapinya yang aku sendiri pun tidak sekuatnya untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut. Apa-apa pun, dia bangkit dan membentuk peribadi kepemimpinan melalui sebuah persatuan yang tersohor di UTP, sehinggalah memegang tampuk pentadbiran dalam persatuan. Kagum kepada manusia yang dalam kelemahan dapat membina kekuatan.

Futur dalam da'wah.


Merupakan perihal biasa bagi seseorang yang komit dalam usrah untuk berasa sedih, apabila mendapat tahu sahabatnya yang suatu ketika dahulu pernah mengikuti usrah tetapi kini tidak lagi. Ia seperti suatu kehilangan yang tidak tergambarkan. Begitulah juga apa yang kualami apabila mendapat tahu keterciciran sahabatku. Akhirnya aku redha dan berlapang dada. Tarbiyah manusia tidak sesempurna tarbiyah Allah. Adakalanya, kita mempersoalkan perjalanan hidup yang kita lalui. Padahal, setiap perhentian dalam kehidupan kita ini adalah yang terbaik Allah tetapkan. Kita takkan merasai kemanisan taqdir Allah itu sekarang, melainkan dengan menoleh kembali lembaran perjalanan yang lalu dalam hidup kita. Itulah, tarbiyah Allah yang penuh hikmah. Hanya doa dan nasihat sahaja yang mampu kuhulurkan buat sahabatku. Selebihnya adalah urusan Allah dengannya. Sebagaimana doa Abang Jack untuk anak-anak didiknya dalam drama komedi Para Pencari Tuhan, “Ya Allah, Kau temukanlah kami dalam keadaan yang terbaik, di tempat yang terbaik, yakni di sorga-Mu..”

Sahabat-sahabat lain.

Hampir 20 minit aku bersembang dengan Azrul, barulah kawan-kawan yang lain mula sampai. Dimulai dengan Iqram yang baru habis exam. Kemudian, datang pula Hazwan, bersama Syafiq Mashud. Semakin ramai member, semakin lama lah sembang. Hazwan tak dapat tunggu lama. Ada urusan peribadi. Fahim, tak dapat dihubungi. Member lain memaklumkan, dia menyertai batch yang lebih atas. Maklumlah, sebaik sahaja telah tahu keputusan AUSMAT, terus saja dia menyertai UTP. Mudah juga menjadi pelajar tajaan Petronas.

Daripada minum petang, akhirnya kami makan malam di situ juga. Mudah, tak perlu nak keluar ke mana-mana. Harga pun, lebih murah.

Ko camner Syafiq? Belajar sini OK?” aku bertanya Syafiq, antara orang yang aku pernah rapat dulu.
Entahlaa Man.. Aku pun tak tau nak kata. Letih aku belajar..” keluh Syafiq.

Hurm.. Sabarlah Syafiq.. Ko pun dah masuk dalam UTP. Alang-alang, habiskan je degree Chemical Engineering ko, ya.” Aku cuba memujuk Syafiq. Faham sangat perasaannya untuk belajar perkara yang tidak diminati. Sangat menyeksakan. Adakalanya, minat terpaksa dikorbankan, tanggungjawab kena diutamakan.

“Betul Man. Mak aku pun cakap, habiskan degree ni pun, jadilah. Lepas tu, buat la apa aku nak buat.” Syafiq mengiyakan aku. Manja pula gayanya. Hahha.. Tengok perawakannya, nak tergelak pun ada. Hanya berbaju-T, berselipar jepun dan berkain pelekat hijau..:P

“Ko ni betullah Syafiq.. Ni kan, kain pelekat hijau yang ko pakai kat INTEC dulu? Hahhaha..” sambil menekan perut, aku tergelak.

“Hehe.. Biasalah Man, hidup kena sempoi.” ringkas dia menjawab. Innocent betul gayanya. Masakan tidak aku ketawa. Kain yang dipakainya itu semakin lusuh warnanya. Nampak sangat selalu dipakai. Hahaha~!

Selepas puas bergelak-ketawa dengan sahabat-sahabat INTEC, masing-masing pun mulai berundur diri. Waktu maghrib pun dah hampir.

Mujur, aku sempat bergambar di kawasan UTP yang kontroversi. Kawasan taman yang pernah diambil gambar oleh mahasiswa-mahasiswi UTP yang dihantar ke Salam Perantauan Utusan Malaysia, lalu dikatakan salam perantauan dari Universiti of Toronto, Canada. Hehe.. Macam-macam.

Geng ex-INTEC-AUSMAT, (dari kiri: Iqram, Syafiq, aku, Azrul)

Balik.

Usai bergambar, kami bersolat Maghrib di Masjid UTP. Hari sudah agak lewat. Jadi, tidak banyak masa yang kami luangkan lagi setelah itu. Sebelum bertolak pulang, aku bersalaman dan berpelukan buat kali terakhir pada hari itu, dengan sahabat-sahabatku yang masih ada, Azrul dan juga Syafiq. Sedih rasa di hati untuk meninggalkan mereka. Entah bila lagi kami akan bertemu. Memang kami menuntut ilmu di tempat yang berbeza, kursus pun berbeza, tetapi suatu ketika dahulu, kami pernah bersama. Berkenalan di rumah Allah, persahabatan itu mengakar di hati, walaupun sudah berjauhan. Ya Allah, peliharalah sahabat-sahabatku, ikatkanlah hati kami kerana kecintaan kepadaMu, Kau peliharalah para pencintaMu ya Allah, moga para pencintaMu menjadi agen perubahan kepada hamba-hambaMu yang lain.

Enjin kereta dihidupkan. Along mengambil-alih tempat pemandu. Tanpa melengahkan masa, aku mengambil tempat di sebelahnya, Hadi sudah memahami mengisi ruang belakang kereta. Menderu Buroq Hijau meninggalkan pekarangan Masjid UTP.

Perjalanan ke rumah Hadi terasa begitu pantas. Mungkin dek masing-masing melayan perasaan. Mungkin juga kerana lengangnya lebuh-raya pada malam hari. Sedar-sedar, sudah berada di pekarangan rumahnya.
“Hadi, jaga diri elok-elok ya.. Cuti panjang ni. Isilah masa yang ada dengan perkara bermanfaat,” pesanku kepada adik usrah yang tersayang.

“InsyaAllah bang. Abang pun jaga diri juga ya,” balas Hadi.

“InsyaAllah..  Jangan lupa, habiskan baca buku Versus tu, tau. Banyak pengajarannya..” senyum-simpul aku menyarankannya. Novel jiwang-karat Versus yang sebenarnya merupakan jarum halus dakwah. Aku benar-benar kagum dengan pendekatan Hlovate dalam berkarya. Moga novel itu mengesankan buat Hadi.

Kami bersalaman dan berpelukan, buat kali terakhir. 3 bulan tempoh bercuti bukanlah satu tempoh yang singkat. Macam-macam perkara boleh terjadi. Aku mengharapkan adalah follow-up daripada ikhwah kawasan tempatan. Adik-adik di bawah jagaanku memang baik dan konsisten dalam kebaikan. Aku tak nafikan. Tetapi, baik tidak cukup dengan berseorangan. Hidup bersama-sama dengan sahabat yang sama-sama punya keazaman dan keikhlasan untuk menjadi baik akan melunakkan jiwa kita ke arah kebaikan juga. Bukan apa.. Khuatir. Apabila berseorangan, hanya ada dua kemungkinan, sama ada kita kekal dengan prinsip kebaikan atau tenggelam dalam arus perdana yang bercampur-baur antara kebaikan dan kejahilan. Tidak boleh tidak, seseorang yang ingin kekal dalam kebaikan seharusnya mencari suasana yang membolehkan dirinya mengisi kembali kekosongan jiwa dalam tsunami jahiliyyah mengepung.

Gambar terbaru (hujung 2011) bersama2 sahabat2 PMH. Dari kiri, Zul, Hadi, aku, Syawal, Ja, Fitri.

Balik.

Along memang seorang yang memahami. Memandangkan aku telah memandu sepanjang hari, dia merelakan diri untuk memandu di malam hari. Perjalanan pulang majoritinya dikendalikan pemanduannya oleh Along.

Alhamdulillah, tamatlah sudah travelog ringkas jaulah kami ke Ipoh. Banyak teladan dan pedoman yang ku raih sepanjang perjalanan. Benar sabda Nabi S.A.W., bahasawanya dengan bermusafir membolehkan kita lebih mengenali sahabat kita (bagi diriku, untuk mengenali Along dengan lebih mendalam). Selain itu, dengan mengembara, pemikiran akan berkembang luas hasil daripada pergaulan dengan masyarakat setempat. Keseronokan yang terhasil daripada menjelajah bumi Allah juga sangat manis, lagi mengenyangkan jiwa.

Apapun, perjalan ini merupakan suatu pengalaman yang simbolik bagiku. Dalam kehidupan, kita tak pernah boleh berpatah balik dan memilih jalan yang kita idamkan. Apa yang dapat kita lakukan untuk mengubah keadaan hanyalah dengan menggunakan kompas yang betul dalam hidup (yakni iman) dan menggunakannya sebaik mungkin untuk menuju ke destinasi yang pasti (kehidupan yang diredhai Allah S.W.T.).

Sekian, itu sahajalah pengalaman yang mampu kucoretkan di sini.


Wallahu a’lam bisowab.

Wassalaamu’alaikum warohmatullahi wabarokatuh.

2 ulasan:

kMia berkata...

Salam aiman..

Very nice!
Tahniah!

Perkongsian yg sgt menarik. teruskn menulis dan b'kongsi.

btw, izat lesly 2 mcm pnah dgr la nama dia. klu xsilap dia slh sorg ikhwah yg menggerakkn ikramteens di srawak. kenal kt net je. xpnah jumpa lg orgnya.

jzkk for d sharing..

[silent reader yg dh mula bersuara] ^_^

Aiman Phoenix berkata...

Wsalam Kakmia..

Alhamdulillah.. Allah permudahkan :) . InsyaAllah. Akak pun doakanlah juga ana ya agar konsisten dalam penulisan. Dan klu ada apa2 cadangan ke?

Malu pula ana.. bila kisah hidup dijaja2. Tp x apalah. Ana x ada apa2, org di sekeliling ana yg hebat2 belaka, termasuklah Akak :) . Allah bagi hebat.

Izzat Lesly tu, sahabat ana waktu di INTEC dulu. Geng2 surau. Baik orangnya, lawak2, gila2, dan mudah mesra. Bagi sang pendiam macam ana ni, ske lah bersamanya :) . Memang waktu sekitar 2007-2008 , Izzat ikut usrah JIM.

Ha.. Kakmia suarakan jelah apa2. Banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan tapi ana pun tak tau nak mula daripada mana. Kakmia dan pembaca2 budiman yg lainlah lebih nampak kedhoifan pada blog ana.

Terima kasih :D